Tuesday, January 11, 2011
Bangsa Eropah Perlu Dikenali
Penulis : Tun Dr Mahathir Bin Mohamad
Tarikh : 19-06-2003
1.Kita perlu kenal baik-baik bangsa Eropah kerana kehidupan
kita, nasib kita akan ditentukan oleh cara kita berinteraksi dengan bangsa-
bangsa Eropah dan keturunan mereka. Di sini bangsa Eropah termasuk mereka yang
berhijrah dan mendirikan negara-negara baru di benua Amerika, Australia dan New
Zealand. Mereka biasanya dipanggil orang putih, orang kulit putih, orang Barat.
Tetapi ramai yang berkulit putih, ramai yang tinggal di Barat yang bukan
daripada bangsa Eropah. Bangsa Eropah adalah bangsa negara- negara Eropah.
Sebab itu saya panggil mereka bangsa Eropah, bukan pun Mat Salleh. Kata bangsa
Inggeris "call a spade a spade". Panggil sesuatu dengan nama yang
tepat. Oleh itu dalam ucapan ini saya panggil bangsa Eropah, bangsa Eropah.
2.Saya bukan anti bangsa Eropah. Saya mempunyai ramai kawan
dan kenalan daripada bangsa Eropah. Saya berasa serba salah hendak menegur
bangsa Eropah kerana kenalan saya tentu akan tersinggung. Negara Eropah yang
berbaik dengan kita juga akan tersinggung. Sudah tentu media mereka akan
mengecam saya sebagai seorang "racist". Tetapi saya anggap pendedahan
akan siapa dianya orang Eropah sudah menjadi begitu penting sehingga risiko
menjadi mangsa perlu diambil.
3. Bangsa-bangsa Eropah mempunyai asal dan budaya yang sama,
iaitu berteraskan tamadun Greek dan Roma. Mereka amat pintar, berani dan
mempunyai sifat ingin tahu atau "curiousity" yang kuat. Mereka tidak
pernah berpuas hati dengan apa-apa yang ada pada mereka melainkan mereka ingin
memperbaiki segala-gala supaya menjadi lebih baik, lebih produktif dan berkesan
untuk apa juga matlamatnya. Tidak ada suatu apa, samada alatan, sistem atau
ideologi yang tidak diperbaiki sepanjang masa.
4. Kadang-kadang dalam keghairahan mereka untuk memperbaiki
keadaan atau barangan yang sedia ada, mereka merosakkan dan mendatangkan hasil
yang buruk. Namun mereka tidak serik dan mereka terus mencuba memperbaiki
segala apa yang ada pada mereka ataupun pada orang lain.
5. Malangnya mereka juga tamak dan suka merampas wilayah dan
hak orang lain. Sejarah mereka selama lebih 2000 tahun memperlihatkan
peperangan yang tidak habis-habis untuk merebut wilayah dan memperluaskan kuasa
masing-masing di dunia.
6. Pada mulanya rebutan dan perang terhad kepada wilayah
Eropah sahaja. Tetapi apabila mereka menguasai ilmu pelayaran jauh, mereka
perluaskan rebutan dan peperangan mereka ke seluruh dunia. Orang Cina, Arab dan
India sampai ke Asia Tenggara lebih awal tetapi tidak berperang dan menakluk
wilayah ini. Tetapi apabila sampai sahaja bangsa-bangsa Eropah maka wilayah
Asia Tenggara seperti juga dengan wilayah lain di Afrika, Amerika Utara dan
Selatan, Australia dan Kepulauan Pasifik, dicerobohi, diserang dan diperangi
untuk menjadikan wilayah-wilayah ini milik mereka, merampas segala kekayaan dan
menindas, menghina dan melakukan "genocide".
7. Oleh kerana mereka suka berperang dan merebut wilayah
orang lain, tumpuan mereka ialah kepada ciptaan dan pembuatan senjata yang
boleh membunuh dengan lebih efisien. Tidak ada satu alatan yang tidak diubah
untuk menjadi senjata untuk membunuh, untuk memberi mereka kemenangan dalam
peperangan.
8. Orang Cina mencipta bahan letupan dan menggunanya untuk
membuat bising supaya naga tidak dapat menelan bulan atau matahari semasa
gerhana. Atau hanya sebagai mercun semasa perayaan. Tetapi apabila bangsa
Eropah menemui bahan letupan Cina, perkara yang pertama yang difikirkan ialah
bagaimana ia boleh digunakan untuk melontar peluru lebih jauh. Sejak itu
berbagai-bagai alatan dicipta untuk membunuh dari jarak jauh. Meriam disusuli
dengan bom, roket, "missile", "nuclear warheads" dan
bermacam-macam lagi. Hari ini jumlah senjata nuklear mereka boleh menghancurkan
seluruh dunia, tetapi masih mereka tidak puas hati. Masih lagi penyelidikan
dibuat untuk "warhead" yang lebih kuat, lebih berkesan. Dalam sejarah
dunia hanya bangsa Eropah sahaja yang pernah menggugur bom nuklear yang
menghancurkan kotaraya dengan jumlah kematian serentak yang terbesar yang
pernah berlaku daripada hanya dua butir bom.
9. Apabila mereka cipta kereta bermotor, maka tidak lama
selepas itu, kereta kebal pun menjelma. Kapal terbang menghasilkan pesawat
pengebom dan pejuang. Kapal untuk dagangan menjadi kapal perang dan kapal
selam. Dan semua ini ditingkatkan keberkesanannya sepanjang masa untuk membunuh
manusia dengan lebih efisien.
10. Hari ini berbilion-bilion dolar dibelanja untuk mencipta
senjata-senjata yang lebih canggih, membekalkan angkatan perang mereka dengan
senjata- senjata ini, melatih pasukan cara berperang, membuat segala persediaan
untuk berperang walaupun tidak ada musuh semasa dan di masa depan yang
mengancam mereka. Dan mereka telah membuktikan bahawa mereka sanggup mencipta
sebab palsu untuk berperang dan membunuh kanak- kanak, orang tua, orang sakit
dan siapa sahaja dan menganggap semua orang ini sebagai "collateral"
yang tidak dibenar menghalang pencapaian hasrat mereka.
11. Berperang dan kehandalan membunuh menjadi sesuatu yang
mulia bagi bangsa Eropah. Jaguh perang diberi gelaran "knights".
Sekejap-sekejap mereka ini akan melancar serangan untuk memperluaskan kawasan
Tuan atau "Lord" mereka. Sebab itu sejak dahulu lagi kampung dan
bandar mereka dikelilingi tembok batu dan longkang yang luas.
12. Bagi mereka segala masalah mestilah diselesaikan melalui
ujian kekuatan. Siapa yang menang dialah yang benar dan dialah yang patut mengambil
semua untuk dirinya. Yang kalah hilang semua. Demikian jugalah cara mereka
menyelesaikan pertikaian di antara pekerja dengan majikan. Siapa yang menang
dalam tindakan perusahaan dialah yang mendapat semuanya.
13. Sejarah Eropah adalah sejarah berperang, sejarah menguji
kekuatan. Apabila mereka bertemu dengan penduduk di luar Eropah, di Afrika,
Amerika dan Asia, mereka terus berperang untuk menawan wilayah-wilayah orang
ini, dan mendirikan negara-negara baru dan empayar mereka.
14. Tidak ada belas kasihan yang ditunjuk oleh mereka.
Bangsa tempatan dihalau keluar dan dibunuh dengan sewenang-wenangnya. Banyaklah
suku kaum pupus hasil serangan mereka. "Genocide" bagi mereka adalah
"final solution", penyelesaian terakhir.
15. Sepatutnya mereka mempunyai perasaan belas kasihan
kepada orang asli tempatan kerana mereka sendiri telah dihalau keluar dari
negara mereka di Eropah. Tetapi apabila mereka sampai ke Dunia Baru, "New
World" kepada mereka, dunia lama bagi penduduk tempatan, mereka menghalau
orang tempatan dari tanah mereka dan merampas harta benda penduduk. Sesiapa
yang mempertahankan wilayah diperangi, dibunuh atau diperhambakan.
16. Dalam percubaan merebut seberapa besar wilayah untuk
dijadikan tanah takluk mereka, bangsa-bangsa Eropah berperang sesama sendiri.
Kerapkali penduduk tempatan dikerah untuk mengambil bahagian dalam peperangan
dan rompakan mereka.
17. Permusuhan antara mereka meningkat kerana masing- masing
ingin menakluk wilayah yang lebih besar, mendirikan empayar, menjadi kuasa utama
di dunia. Kerana ini mereka melancar perang secara besar-besaran yang
melibatkan seluruh dunia.
18. Perang Dunia Pertama dilancarkan pada tahun 1914 dan
tamat pada 1918 setelah lebih daripada 20 juta rakyat mereka dan askar dari
tanah takluk mereka terbunuh dan berbilion-bilion dolar harta dimusnahkan.
19. Tetapi mereka belum puas hati. Hanya 20 tahun selepas
Perang Dunia Pertama, mereka berperang lagi dalam Perang Dunia Kedua. Kali ini
keganasan bangsa Eropah meningkat ke puncak. Lima puluh juta lebih daripada
rakyat mereka dan rakyat empayar mereka terbunuh. Mereka menggunakan
"carpet bombing" untuk meranapkan bandar-bandar dengan semua
penduduk.
20. Akhir sekali mereka menggugurkan bom atom ke atas
Hiroshima dan Nagasaki, negara Jepun, negara orang bukan Eropah. Walaupun bom
nuklear ini memberi kemenangan kepada mereka tetapi bangsa-bangsa Eropah
terkejut dengan kuasa bom nuklear dan "radiation" darinya yang boleh
membunuh mangsa bertahun-tahun selepas bom digugurkan.
21. Bangsa-bangsa Eropah berasa amat takut kalau-kalau
perang nuklear di antara mereka sendiri berlaku dan bangsa mereka terbunuh dan
negara-negara mereka hancur kerana penggunaan senjata nuklear. Kerana ketakutan
ini mereka membuat perjanjian antarabangsa bagi mengawal pengeluaran, ujian dan
penggunaan bahan letupan nuklear dalam peperangan.
22. Tetapi beberapa daripada mereka juga yang tidak
menandatangani perjanjian "Nuclear Non-Proliferation Treaty". Mereka
terus mengkaji selidik, mencipta, dan menguji jenis letupan nuklear yang baru
untuk bom dan `warhead` lain.
23. Bangsa Eropah amat benci kepada orang Yahudi sejak
sebelum mereka beragama Kristian lagi. Selepas menjadi Kristian mereka salahkan
orang Yahudi kerana membocor kegiatan Nabi Isa kepada pemerintah Rom yang
menyebabkan Nabi Isa mati disalib.
24. Oleh kerana ini, sehingga lepas Perang Dunia Kedua,
orang Eropah menindas orang Yahudi yang berhijrah ke negara-negara mereka. Tiap
tahun diadakan "Pogrom" dan "Inquisition" dengan pembunuhan
orang Yahudi beramai-ramai. Percubaan untuk menyelesaikan masalah Yahudi
memuncak semasa Perang Dunia Kedua dengan pembunuhan enam juta orang Yahudi.
25. Tetapi selepas Perang Dunia Kedua orang Yahudi masih ada
di Eropah. Untuk mengeluarkan orang Yahudi dari Eropah, mereka merampas wilayah
Palestin untuk dijadikan negara Israel. Bukan sahaja tanah, rumah dan ladang
orang Arab Palestin yang dirampas tetapi orang Arab dihalau keluar dari wilayah
mereka yang dijadikan Israel.
26. Sejak itu Asia Barat tidak pernah aman. Percubaan orang
Palestin untuk mendapat balik wilayah mereka ditentang oleh orang Eropah.
Sebaliknya mereka menyokong Israel walaupun Israel merampas tanah Palestin di
luar Israel dan membunuh rakyat Palestin.
27. Lontaran batu oleh kanak-kanak Palestin dibalas dengan
tentera Israel menembak mati kanak-kanak yang membaling batu ini. Namun orang
Eropah tidak mengutuk Israel. Tetapi serangan berani mati oleh rakyat Palestin
dikutuk oleh mereka.
28. Serangan pada 11 September ke atas Amerika Syarikat yang
menyokong Israel dijadikan alasan bagi orang Anglo-Saxon Eropah kembali ganas
dan bengis.
29. Strategi mereka melawan keganasan ialah dengan
melancarkan serangan terhadap negara-negara Islam dan orang Islam, sama ada
yang bersalah atau yang tidak bersalah.
30. Dengan membuat bermacam-macam tuduhan yang tidak
berasas, mereka melancarkan peperangan ke atas negara Islam, menggunakan
senjata pemusnah mereka, membunuh orang awam, dan menghancurkan bandar-bandar.
31. Amerika dan Britain tidak menghiraukan langsung kecaman
dunia terhadap tindakan mereka. Tentangan oleh bangsa mereka sendiri pun tidak
dipedulikan. Mereka ingin menunjuk kepada dunia bahawa mereka kuat dan sesiapa
yang mencabar mereka akan diserang oleh tentera mereka habis-habisan.
32. Apa yang saya katakan di sini semuanya benar. Ia bukan
rekaan yang dibuat kerana ingin menakutkan kita, supaya kita mengambil berat
terhadap amaran akan bahaya yang dihadapi. Sekali lagi ingin saya ulangi bahawa
saya bukan anti bangsa Eropah bukan "racist". Bukan niat saya untuk
menimbulkan kebencian kepada bangsa Eropah. Tetapi amatlah penting kita kenali
bangsa ini dan sejarah tindak-tanduk mereka kerana mereka akan memainkan
peranan yang besar dalam kehidupan kita, terhadap bangsa kita, agama kita dan
negara kita. Kegagalan kita mengenali mereka akan menyukarkan persediaan dan
strategi kita untuk menyelamatkan diri kita.
33. Perjuangan melawan Malayan Union dan merebut Kemerdekaan
sudah berlalu. Kita telah mencatat kejayaan bukan sahaja dalam memerintah
negara kita yang merdeka tetapi membangunkannya dengan begitu pesat. Ramai
daripada kita yang berpendapat bahawa sekali merdeka selama-lamanya merdeka.
Justeru itu kita tidak perlu khuatir akan perkembangan di luar negara kita.
34. Tetapi hari ini, bahaya yang dihadapi oleh kita adalah
lebih besar daripada yang kita hadapi pada pertengahan abad ke-20 di waktu mana
percubaan dibuat oleh British untuk merampas tanah Melayu dan mendirikan
Malayan Union.
Posted by Mohamad Safwan Bin Jamal at 10:17 PM
Tidak ada komentar:
Posting Komentar